Oleh : ZF Zamir
MINGGU lalu saya berpeluang menonton filem terbaru Steven Spielberg iaitu Ready Player One dalam satu tayangan premiere setelah dipelawa oleh teman.
Ready Player One adalah filem sains fiksyen advencer yang diarahkan oleh Spielberg berdasarkan novel Ernest Cline pada 2011 dengan tajuk yang sama.
Filem ini berlatarbelakangkan tahun 2044-2045 di mana kebanyakan kota besar dunia telah menjadi ‘slum-like cities’ gaya setinggan kerana jumlah penduduk yang terlalu banyak, perubahan iklim dunia, pencemaran serta rasuah yang tidak terkawal. Kesannya, manusia berpaling kepada dunia realiti maya iaitu OASIS (Ontologically Anthropocentric Sensory Immersive Simulation) termasuk untuk bekerja, pendidikan mahupun hiburan.
Watak utama filem ini, Wade Watts lakonan Tye Sheridan adalah seorang remaja dari Columbus, Ohio yang tinggal dengan makciknya di ‘The Stacks’, kawasan setinggan yang dibina dari himpunan kontena. Dalam OASIS, Watts menggunakan avatar bernama Parzival yang berkawan dengan Aech, seorang avatar lelaki sebagai mekanik virtual.
Parzival & Aech kemudiannya berkawan dengan Art3mis, seorang avatar perempuan yang popular. Tugas mereka di dalam OASIS adalah sebagai Gunters (egg-hunters) iaitu memburu 3 kunci yang ditinggalkan oleh pencipta OASIS, James Halliday. Pemenang pertama yang menemui ketiga-tiga kunci ini akan mewarisi dan mempunyai pemilikan penuh terhadap OASIS.
Tye Sheridan, atau Wade Watts atau Parzival digambarkan sebagai seorang anak muda yang kesunyian yang mencari kehidupan alternatif melalui ‘virtual reality’ (VR). Dunia alternatif ini pula digambarkan sebagai dunia tanpa sempadan, sebuah fantasi yang memberi pengalaman kepada seseorang tanpa ada hadnya.
Sekali imbas, filem Spielberg ini tak lebih dari sebuah kritik kepada budaya pop. Lebih spesifik, ianya membayangkan dunia realiti maya yang akan mengambil alih hidup manusia secara total. Tetapi malangnya filem ini tidak begitu jauh dengan hidup kita hari ini.
Hari ini, media sosial telah menjadi bahagian besar hidup kita. Hidup kita seharian telah dibahagikan kepada Facebook, Twitter dan Instagram. Di sana kita membuat lebih ramai teman dan bersosial dari komen peribadi sehinggalah mencipta rakaman video untuk tayangan orang lain.
Melihat Tye Sheridan memakai ‘VR Mask’ atau topeng realiti mayanya dan disedut masuk ke dalam dunia lain seperti OASIS adalah seolah-olah melihat diri kita semua disedut masuk ke dalam Facebook. Malangnya semalam iaitu pada 28 Mac, Facebook telah bertindak menutup akaun Safa News iaitu portal yang beroperasi dari Gaza.
Safa News pada ketika ini mempunyai sehingga 1.3 juta pengikut di Facebook. Menurut aktivis, tahun 2018 sahaja, lebih dari 500 akaun Facebook Jurnalis Palestin, Aktivis & Bloggers telah dipadam oleh Facebook sendiri sebagai sebahagian dari polisi pro-Israel oleh Facebook.
Ada 2 perkara yang boleh kita pelajari dengan contoh pembulian Facebook terhadap gerakan pembebasan Palestin diatas. Pertama, hidup kita telah disedut ke dalam media sosial secara total dari kehidupan personal sehingga kepada kehidupan bermasyarakat. Kita bekerja dan berniaga di media sosial, malah kita mendapatkan ilmu dan memilih media sosial sebagai platform kita menerima maklumat.
Kedua, oleh sebab yang demikian, kita terpaksa mengurus kehidupan personal & kehidupan bermasyarakat kita di media sosial dan yang paling penting adalah melibatkan penyaringan maklumat atau apa yang disebut sebagai ‘fake news’ hari ini.
Seperti OASIS, hari ini Facebook telah menjadi Tuhan & Kerajaan yang membenarkan apa yang boleh dan apa yang tak boleh. Lebih dahsyat, ruang media sosial hari ini telah menjadi ruang di mana kebenaran dan kebatilan bercampur. Ini mengingatkan saya kepada kata Hannah Arendt iaitu;
"Dalam dunia yang sentiasa berubah dan tidak dapat difahami hari ini, orang ramai telah sampai ke titik di mana mereka mempercayai apa sahaja serta dalam masa yang sama berfikir bahawa semuanya adalah mungkin dan tidak ada yang benar,”
Arendt menyambung;
“Ahli propaganda massa mempercayai bahawa penontonnya bersedia sepanjang masa untuk percaya kepada perkara yang paling paling teruk sekalipun, tidak kira betapa tidak masuk akal dan tidak akan membantah kerana ditipu kerana mereka percaya setiap kenyataan adalah sebenarnya sejenis kebohongan,”
Karangan Hannah Arendt dalam The Origins of Totalitarianism ini menjadi sangat personal dan rapat dengan kita hari ini. Sambungnya lagi;
“Para pemimpin totalitarian menyandarkan propaganda mereka ke atas anggapan psikologi bahawa dalam sesetengah keadaan, seseorang boleh membuat orang percaya dengan satu kenyataan yang hebat dan keesokan harinya jika diberi bukti akan kepalsuan kenyataan tersebut; mereka akan berlindung dengan sinis dengan menyatakan bahawa mereka telah mengetahui kepalsuan dan kebohongan tersebut dan mengagumi kepintaran taktikal pemimpin palsu tersebut di sebalik meninggalkan pemimpin tersebut,”
Membaca karangan berusia 67 tahun ini mengingatkan kita kepada 1MDB serta bagaimana pemimpin parti UMNO yang secara sinis mengagumi kepintaran taktikal pemimpin nombor satu mereka berkenaan dengan hal ini. Atau seperti kata Tom Chatfield dalam New Philospher;
“Kita semua sebenarnya bukan sedang dimanipulasi. Sebaliknya, kita sedang dicekik dengan trend yang tidak masuk akal yang tidak akan berhenti menyampaikan helah mereka kepada orang lain selagi kita semua tetap mesra menyokong mereka. Maksudnya, selagi politik dan keuntungan berganding bahu, penawar tertinggi akan tetap menjual perhatian pengguna tanpa mengambilkira ‘kebenaran’,”
Mungkin yang sebenarnya, kita semua adalah propaganda. Dan sebenarnya pengenalan Akta Anti Berita Palsu oleh kerajaan hanyalah salah satu dari sekian banyak simulasi dalam dunia maya tanpa sempadan ini. Atau mungkin akta tersebut sebenarnya adalah topeng VR untuk kita semua terus bermain dalam ruang dan gelanggang yang mereka sedang kuasai. Kata Kyle Tsakiris;
“Sekiranya kita mahu menghentikan berita palsu, kita harus mendidik, bukan ‘brainwash’. Kita harus menyiasat dan berbincang, bukan mencari kambing hitam dan menyalahkan. Kita harus menganalisa dan menyiasat apa yang kita nilai serta jangan membiarkan ia ditanam ke dalam diri kita oleh orang lain. Jika kita serius mahu menghentikan berita palsu, kita harus mencari semula apa yang penting serta bagaimana untuk menemukannya. Dengannya, kita akan ingat semula kepentingan menghargai kebenaran,”
Kerana hari ini, seperti ditunjukkan oleh Spielberg dalam Ready Player One serta Akta Anti Berita Palsu oleh kerajaan Malaysia; Plato juga mengingatkan; “Those who tell the stories rule society.”
Friday, 30 March 2018
'Ready Player One' Dan Akta Berita Palsu - ZF Zamir.
Tags
# Sosmed
About wes
Templatesyard is a blogger resources site is a provider of high quality blogger template with premium looking layout and robust design. The main mission of templatesyard is to provide the best quality blogger templates which are professionally designed and perfectlly seo optimized to deliver best result for your blog.
Sosmed
Labels:
Sosmed
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment