Datin Terlepas Dari Hukuman Penjara Selepas Kaw-Kaw Dera Amah Dengan Pisau, Kayu Dan Besi. - Mak Cik

Thursday, 15 March 2018

Datin Terlepas Dari Hukuman Penjara Selepas Kaw-Kaw Dera Amah Dengan Pisau, Kayu Dan Besi.

Seorang wanita bergelar Datin dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, kerana menyebabkan kecederaan parah pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.



Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memutuskan hukuman itu ke atas Datin Rozita Mohamad Ali, 44, selepas menukar pengakuan kepada bersalah apabila pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding perbicaraan kes terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, suri rumah itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi pertuduhan asal iaitu cubaan membunuh sebelum pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pindaan menyebabkan cedera parah.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, Rozita cuba mengelak wajahnya daripada dirakam dan menjadi berang serta mengarahkan pembantu menghubungi peguamnya sebaik menyedari kehadiran media.

Dalam penghakimannya, Mohammed Mokhzani berkata, bon berkelakuan baik dikenakan terhadap tertuduh bukan bermakna wanita itu dibebaskan, sebaliknya masih terikat dengan mahkamah selama tempoh ditetapkan.

"Sekiranya tertuduh terbabit dengan aktiviti jenayah, dia boleh dituduh semula dalam kes sama dan bakal dikenakan hukuman penjara," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop, sekaki payung, sebatang rod besi, sebatang alat mainan kucing dan penyangkut baju.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, di sini antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, 21 Jun 2016.

Rozita didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani memohon hukuman pemenjaraan setimpal diberi atas alasan kes mendapat liputan meluas media antarabangsa dan tempatan, manakala video rakaman itu tersebar luas di media sosial.

"Ia menyebabkan imej negara kita tercemar di mata dunia, selain menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

"Kes ini juga antara sembilan kes penderaan pembantu rumah paling tragis di negara kita, dan hanya hukuman penjara setimpal bagi perbuatan keji yang semakin berleluasa ini,"
katanya.

Peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili tertuduh, memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dikenakan atas alasan kemanusiaan iaitu tertuduh mengalami tekanan melampau sejak didakwa di mahkamah.

"Tertuduh benar-benar insaf dengan perbuatannya dan sentiasa memberi kerjasama baik kepada pihak polis," katanya.

Kes berkenaan tersebar luas di media sosial menerusi rakaman video pada 21 Disember yang antara lain menunjukkan Suyanti ditemui terbaring dalam keadaan cedera parah di tepi longkang di Mutiara Damansara, oleh seorang pengawal keselamatan.


Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment